Rabu, 17 Oktober 2012

Ciri-ciri Guru Pendidikan Seni Cemerlang



ABSTRAK:

Seringkali ungkapan kecemerlangan diperkatakan kepada guru-guru pendidikan seni. Indikator kecemerlangan kebanyakannya tertumpu pada sifat umum, Tulisan ini memberi fokus indikator guru pendidikan seni yang cemerlang. Kecemerlangan dalam konteks pengajaran-pembelajaran, Keilmuan, kualiti peribadi, pengurusan ko-kurikulum, sumbangan dan hasil karya dan perhubungan sejawatan.

Pengenalan

Sistem pendidikan di Malaysia mempunyai matlamat yang jelas sama ada secara tersurat dan tersirat iaitu melahirkan insan dan bangsa yang cemerlang melalui Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Justru itu guru sebagai 'imput' seharuslah 'cemerlang' terlabih dahulu sebelum menentukan 'output' yakni murid yang cemerlang seperti dikehendaki oleh FPN. Jika kita amati matlamat keseluruhan FPN dan Wawasan Pendidikan yang diutarakan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, budaya kerja cemerlang adalah menjadi agenda utama. Penegasan wawasan pendidikan ialah budaya kerja cemerlang perlu dibina berlandaskan sikap amanah, bertanggungjawab dan akauntabiliti terhadap tugas.

" Satu konsep utama yang menjadi landasan untuk membangunkan budaya cemerlang ialah amanah. Amanah ialah tanggungjawab dan juga penaggungjawab (akauntabiliti) terhadap sesuatu yang telah ditugaskan atau diberi keparcayaan. Menurut Islam seluruh diri dan hidup manusia adalah amanah"
(Wan Zahid.13)

Peranan guru amat penting bagi menentukan kemajuan murid dan sekolah. Bagi guru mata pelajaran pendidikan seni peranan mereka amat penting bagi menentukan mata pelajaran pendidikan seni boleh di manfaatkan. Dua peranan penting bagi seseorang guru pendidikan seni disekolah; pertama menentukan mata pelajaran pendidikan seni di ajar kepada murid-murid dengan sempurna dan berkesan dan kedua menggunakan kemahiran pendidikan seni berguna kepada kemajuan sekolah dari segi fizikal dan kemudahan.

Ciri-ciri Cemerlang

Indikator cemerlang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan, terutama untuk menentukan prestasi guru. Indikator tersebut lebih menekankan penilaian prestasi seseorang guru biasa bagi menentukan pergerakan gaji. Walau bagaimanapun indikator ini boleh diambil kira awal untuk menentukan kecemerlangan seeorang guru terutama guru mata pelajaran pendidikan seni. Indikator tersebut mengambilkira :
1. Kegiatan dan sumbangan di luar tugas rasmi.
2. Penghasilan kerja dari segi kualiti, mutu kerja, keberkesanan kos, ketepatan masa dan pelaksanaan peraturan dan arahan pentadbiran.
3. Pengetahuan dan kemahiran yakni meliputi pengetahuan dalam bidang kerja, kebolehan mengelola, kebolehan membuat keputusan, keberkesanan komunikasi dan kebolehan menyelesaikan masalah.
4. Kualiti Peribadi - dari segi integriti (jujur, amanah dan berakhlak) komitmen, ikram, adil dan saksama, berdisiplin dan kepimpinan.
5. Jalinan hubungan dan kerjasama samada dengan pegawai atasan, rakan sekerja, pegawai bawahan dan pelanggang( murid-murid).
6. Potensi: adakah guru itu ada wawasan, perspktif menyeluruh, penganalisisan, kesedaran kepada kenyataan, proaktif, daya kreatif dan inovasi, serta kebolehan menghadapi cabaran.

Perkhidmatan awam menyenaraikan ciri-ciri budaya kerja cemerlang yang perlu diamalkan pekerja kerajaan, antaranya:

1. Ketepatan masa dalam memberikan perkhidmatan.
2. Ketepatan fakta dan maklumat yang diberikan kepada pelanggan.
3. Sentiasa responsif kepada kehendak pelanggan.
4. Menyempurnakan tugas dengan cara yang adil dan jujur.
5. Bersopan santun ketika berurusan dengan pelanggan.
6. Menepati temujanji yang dibuat dengan pelanggan.
7. Tidak melakukan pembaziran sumber.
(Ahmad Sarji.210)

Indikator-indikator di atas merupakan indikator secara menyeluruh bagi menentukan kecemerlangan bagi seseorang guru. Amalan budaya kerja cemerlang memerlukan amalan yang berterusan. Seseorang guru yang cemerlang sewajarnya sentiasa cemerlang dari segi indikator-indikator di atas.

Bagi guru pendidikan seni, indikator kecemerlangan akan berpusat kepada enam faktor utama. faktor-faktor tersebut boleh dipecahkan dalam huraian selanjutnya:

1. Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
2. Pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pendididikan seni.
3. Kualiti diri dari segi kepimpinan, kreatif dan wawasan.
4. Pengurusan Ko-kurikulum.
5. Sumbangan kepada sekolah dan hasil kerja dalam bentuk karya seni dan penulisan.
6. Komunikasi dan hubungan dengan pentadbiran, rakan sejawat dan pelajar.

Namun demikian guru pendidikan seni cemerlang pada keseluruhannya ialah seorang guru yang berwibawa tinggi, kreatif, kecindan dan peka terhadap perkembangan individu, simpatik dan empatik serta menjadi contoh kepada guru-guru lain dan pelajar.

Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan

Berbagai-bagai teori dan model pengajaran yang berkesan. Mengikut Borich & Fenton (1977), kecemerlangan pengajaran adalah melibatkan perlakuan guru, peningkatan keilmuannya, dan beberapa variabel yang mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran P&P, misalnya hubungan dengan pengetua/gurubesar dan dan faktor persekitaran . Yang dimaksudkan pelakuan guru ialah cara-cara guru menyampaikan ilmu kepada murid-muridnya. Ini termasuklah bagaimana guru interaksi dengan murid, pengurusan kelas, penggunaan masa dan sebagainya yang berkaitan dengan P&P. Satu faktor yang penting ialah sikap guru itu penentu utama bagi kecemerlangan dalam P&P. Dalam model yang dikemukan oleh John Carroll (1963) iaitu "A Model of Scholl Learning'; menghuraikan lima elemen yang mempengaruhi keberkesanan pengajaran, iaitu:

1. 'Aptitude' - bakat/kebolehan murid untuk belajar.
2. Kemampuan murid me- mahami arahan/ pengajaran guru atau kesediaan murid belajar sesuatu tajuk pelajaran. Kemampuan murid ini bergantung kepada pengetahuan atau kemahiran yang sedia ada pada murid.
3. Daya tahan (persever- rance) murid - kesanggupan murid secara aktif terlibat dalam pembelajaran. Faktor ini ditentukan oleh motivasi/kemahuan dalam diri murid untuk belajar.
4. Peluang - masa yang diperuntukan kepada murid untuk belajar atau masa yang digunakan oleh guru untuk mengajar sesuatu kemahiran dan konsep.
5. Kualiti pengajaran - keberkesanan sesuatu pelajaran itu diajar.
(Wan Fatimah .19)

Kualiti pengajaran merupakan perkara penting kepada seseorang guru pendidikan seni untuk menentukan keberkesanan pengajaran. Guru yang cemerlang berjaya menentukan corak pengajaran yang berkesan dan menyesuaikan situasi pengajaran dengan situasi semasa. Berbagai kaedah dan strategi pengajaran dimanipulasikan agar murid menikmati pengajaran dengan sempurna dan berkesan. Berikut adalah kuliti pengajaran pendidikan seni yang berkesan:

• pengajaran/maklumat pendidikan seni secara tersusun, mudah difahami serta bermakna kepada murid. Misalnya mengajar anyaman guru harus menerangkan jenis-jenis kelerai terlebih dahulu sebelum pergi kepada teknik mengayam.
• pengajaran pendidikan seni dapat menarik minat murid.
• berkesan, mudah diingat dan digunakan oleh murid.
• guru menggunakan contoh-contoh yang mudah.
• pengajaran pendidikan seni dikaitkan dengan maklumat/pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada pada murid.
• guru sentiasa menunjukkan minat dan ghairah semasa pengajaran pendidikan seni.
• guru menggunakan kaedah-kaedah dan bahan-bahan pengajaran tertentu sesuai dengan pelajaran pendidikan seni berjalan.
• guru bersifat humor dan penyayang.
• Guru pendidikan seni yang baik sentiasa mengadakan penilaian secara formal atau tidak format kepada murid dan membuat penilaian keberkesanan pengajaran.
• guru pendidikan seni perlu membetulkan segera kesilapan yang dilakukan oleh murid.
• guru pendidikan seni yang baik sentiasa memberi motivasi dan insentif kepada murid semasa pengajaran berlaku.
• guru pandai menyesuaikan pengajaran pendidikan seni mengikut keupayaan kebolehan murid.
• pengajaran yang berkesan dibantu dengan suasana bilik seni yang bersih dan kemas.

Pengetahuan dan Kemahiran Pendidikan Seni

Guru pendidikan seni banyak terlibat dalam kerja-kerja praktikal dan kurang dalam kerja-kerja amali. Lantaran itu guru pendidikan seni kurang mendalami pengetahuannya melalui banhan-bahan bacaan ilmiah. Guru pendidikan seni lebih berminat sekiranya diadakan latihan berbentuk bengkel. Ini merupakan fenomena yang negatif.
Pendidikan seni perlu ditekankan dari aspek teori dan amali. Bagi guru pendidikan seni cemerlang perlu mendalami keseluruhan bidang-bidang yang ada dalam pendidikan seni. Sebagai contoh sekarang pendidikan seni diperkenalkan bidang rekacipta, maka guru pendidikan seni perlu membaca dan mendalami bidang tersebut hingga boleh menguasainya.
Kebolehan guru pendidikan seni menguasai sesuatu bidang-bidang lain akan menentukan mutu pengajaran yang berkesan. Misalnya penggunaan komputer dalam pengajaran pendidikan seni, walaupun belum disediakan dalam kurikulum, tetapi sekarang banyak perisian komputer yang boleh digunakan dalam pendidikan seni. Misalnya perisian Grafik seperti PageMaker, CorelDraw, CAD dan sebagainya. Perisian ini dapat membantu guru dari segi alat bantu mengajar penggunaan dalam mata pelajaran.

Kualiti Peribadi

Penekanan kuliti peribadi sangat penting kepada guru-guru pendidikan seni. Seseorang guru pendidikan seni cemerlang tentunya kualiti pribadi yang konsisten. Menunjukkan akhlak mulia dengan rakan sejawat dan murid-muridnya. Ia sentiasa menjadi model kepada guru-guru lain dari segi kemasan diri. Contohnya guru-guru pendidikan seni perempuan boleh menjadi contoh dan kosaltan dari segi memilih warna dan fesyen baju untuk guru wanita lain.
Guru pendidikan seni sentiasa senang untuk membuat rujukan dalam hal-hal yang berkaitan dengan kreativiti. Justru itu guru pendidikan seni haruslah seorang kreatif dan inovatif.

Pengurusan Ko-kurikulum

Seorang guru yang cemerlang tidak akan lengkap sekiranya tidak terlibat dalam organisasi kelab dan persatuan, unit beruniform dan sukan di bawah ko-kurikulum. Kelab seni dan kreatif merupakan kelab yang membantu mengembangkan mata pelajaran pendidikan seni di sekolah. Melalui kelab tersebut dapat menentukan daya minat yang lebih dari murid yang diajar semasa pendidikan seni. Pelengkap dari pengajaran pendidikan seni boleh di salurkan dalam bentuk aktiviti kelab seni dan kreatif.

Banyak aktiviti-aktiviti boleh dijalankan melalui kegiatan kelab. Misalnya lawatan ke pusat-pusat yang berkaitan dengan seni tampak, Balai senilukis dan Pusat kraftangan. Melalui kelab pendidikan seni guru boleh membina kepimpinan murid dalam bidang kesenian disamping melahirkan seniman-seniman kecil melalui penghasilan karya seni.
Kejayaan dalam kegiatan ko-kurikulum kebiasaannya adalah bergantung kepada keupayaan guru dalam melibatkan diri bersama murid dan memberi keyakinan kepada mereka.

Subangan dan Hasil Kerja

Sewajarnya guru pendidikan seni merupakan orang terpenting untuk mencantikkan sekolah. Tidak dinafikan tanggungjawab utama untuk keceriaan sekolah kebiasaannya terpikul pada guru pendidikan seni. Sumbangan ini amat wajar kerana dalam mata pelajaran pendidikan seni (sekolah menengah), Seni dan Persekitaran boleh dipraktikkan melalui kerja-kerja keceriaan sekolah.

Sumbangan guru pendidikan seni tidak tertumpu kepada sekolah sahaja. Guru pendidikan seni boleh memberi khidmat kepada projek-projek diperingkat daerah misalnya hiasan pentas dan sebagainya. Subangan kreatif itu akan menambahkan lagi kesuburan kemahiran bidang kerja.

Komunikasi dan hubungan

Melalui sumbagan yang diberikan kepada pihak sekolah, guru pendidikan seni sewajarnya mempunyai tingkahlaku yang baik terutama dari segi hubungan dengan pengetua/gurubesar, rakan sejawat dan pelajar. Hubungan ini penting, kerana prestasi guru yang baik adalah melalui imej hubungan yang berkesan dan baik.

Penutup

Sebenarnya tugas dan tanggungjawab guru pendidikan seni semakin mencabar. Namun demikian bagi guru pendidikan seni yang aktif dan cemerlang, cabaran dan rintangan yang berat dapat dipikul dengan mudah. Kerja-kerja yang ada kaitan dengan tugas dan dan ada kaitan dengan pendidikan seni merupakan kerja yang menyeronokkan bagi guru pendidikan seni yang cemerlang. Kebiasaannya guru cemerlang ini mahukan setiap kerjanya dilakukan dengan kualiti yang tinggi. Indikator utama guru pendidikan seni yang cemerlang ialah sikap amanah dan bertanggungjawaban.

Tahap kesempurnaan tugas datang dari diri yang ikhlas dan sentiasa mahu mengingkatkan pengetahuan, menguasai kemahiran, sikap terbuka, berfikiran secara fleksibel, kreatif dan inovatif. Sesungguhnya guru yang cemerlang itu sentiasa menjadi guru 'popular' disekolah.
Seperti kata Ketua Pengarah Pendidikan dalam kertas kerjanya bertajuk Keguruan menjelang abad ke-21: Cabaran dan Harapan; Menjamin kualiti perkhidmatan dalam profesion keguruan pada abad ke -21 merupakan satu cabaran. Stakeholders dan juga pelanggan pendidikan pasti akan membuat tuntutan peningkatan mutu pendidikan. Sejauh mana sesorang guru atau kakitangan pendidikan dapat memuaskan tuntutan dan keperluan stakeholders dan pelanggan bergantung kepada sejauh mana tingginya kualiti perkhidmatan yang dicurahkan. ( Wan Zahid. ms 121).

Jalinan




Apa Itu Jalinan

1. Jalinan merupakan kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu benda, seperti kesan pada permukaan kulit durian, kulit rambutan, tapak kasut, kulit kayu, bulu kucing, belang pada harimau dan lain-lain.

2. Jalinan pada benda buatan manusia dan benda ciptaan Tuhan memberi kesan tampak yang berbeza.

3. Setiap objek yang berjalinan, mempunyai fungsi dan nilai-nilai yang tersendiri.

jalinan pada keratan rentas batang pokok

jalinan pada kulit harimau belang

jalinan pada kulit siput

Contoh Jalinan Pada Alam Semulajadi

rekahan pada tanah

jalinan kasar pada permukaan batu

jalinan berduri pada kulit durian

Contoh Jalinan Pada Benda Buatan Manusia

jalinan pada langit-langit rumah

Jenis-jenis Jalinan

1. Jalinan Sentuh

a. Merupakan kesan permukaan yang dapat dilihat dan dirasa melalui sentuhan seperti, permukaan batu, kulit kayu, kulit kerang

b. Jalinan sentuh dapat dipindahkan ke permukaan 2 dimensi melalui beberapa teknik seperti capan, cetakan, gosokan dan sebagainya

Jalinan Sentuh - kulit kerang

Jalinan Sentuh - tayar motorsikal

2. Jalinan Tampak

merupakan kesan jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan seperti, sayap rama-rama, kulit tembikai, kertas pembalut hadiah, kertas dinding, corak tekstil dan sebagainya.

Jalinan Tampak - kertas dinding

Jalinan Tampak - kulit tembikai

Fungsi Jalinan

1. Sebagai Penyamaran - seperti sesumpah, serangga, harimau dan kuda belang

jalinan pada kuda belang

jalinan pada sesumpah

2. Menahan Geseran - tayar kereta, tapak kasut

tapak kasut

3. Sebagai hiasan - corak pakaian, corak kertas dinding

corak
4. Pengaliran air dan udara

jala ikan

Contoh Penghasilan Karya BerjalinanTampak
gosokan
teknik gosokan menggunakan bahan berjalinan sentuh sebagai subjek, di mana permukaan kertas hendaklah diletakkan di atas benda berjalinan seperti duit syiling, batu-batu jalan, kulit kayu. Seterusnya hendaklah menggunakan pensel atau pensel warna untuk digosokkan atas permukaan kertas tersebut bagi mendapat kesan jalinan.

capan
kaedah ini banyak digunakan sebagai aktiviti di sekolah rendah, menggunakan bahan-bahan berjalinan sentuh seperti daun, sayur-sayuran, ubi kentang, kacang bendi, lalu di sapu warna dan dicap pada permukaan kertas.

ikat dan celup 
menggunakan kaedah pengasingan warna dengan menggunakan cara mengikat bahagian-bahagian kain yang tidak ingin diwarnakan. Selesai mengikat dengan getah atau tali rafia, kain hendaklah dicelup ke dalam pewarna atau dye mengikut warna yang dikehendaki

pualaman
menggunakan kaedah pengasingan warna minyak dengan air. Air diletakkan ke dalam tray lalu di titiskan dengan cat minyak. Seterusnya kertas diletakkan pada permukaan air yang mengandungi cat tersebut.

batik
Kaedah batik termasuklah batik blok, batik canting dan sebagainya

lukisan dan catan
menggunakan pen, pensel warna, pensel atau cat dapat menghasilkan kesan ilusi jalinan

Kaedah Penghasilan Karya  Berjalinan Sentuh

anyaman
penghasilan anyaman rotan, anyaman buluh, anyaman tikar dan sebagainya

tenunan
jalinan menggunakan benang atau tali dapat mewujudkan kesan jalinan sentuh

 
sulaman 
semua jenis sulaman temasuk sulaman silang pangkah, tekat, quilting dan sebagainya mencipta kesan jalinan sentuh

kolaj
merupakan kaedah potong dan tampal, selain dari potong, kolaj juga boleh dibuat daripada bahan-bahan seperti daun, kacang, pasir, kulit siput dan lain-lain

Garisan



Garisan merupakan unsur seni yang paling asas. Tajuk ini biasanya diajar kepada murid tingkatan satu dan dua. Murid tingkatan satu biasanya agak asing dengan teori seni dan guru haruslah mengaitkan keadaan di persekitaran dengan asas-asas seni reka bagi memperjelaskan bagaimana hubung kaitan objek-objek di persekitaran dengan seni visual.

Pengenalan Garisan


1. Garisan merupakan satu siri titik-titik. Dengan sambungan titik-titik maka wujudlah garisan.


2. Garisan dihasilkan dengan menggunakan suatu alat atau media yang bermula dari suatu titik permulaan merentasi sesuatu kawasan hingga terbina satu objek.

garisan bulatan utama bagi melakar struktur badan seekor ayam

menyambung garisan-garisan berikutnya bagi struktur leher dan kepala

seterusnya menambah garisan pada ekor dan kaki

dengan mengenalpasti arah cahaya dan jalinan, maka terbentuklah lakaran seekor ayam

3. Garisan terdapat pada benda alam dan benda buatan manusia.

    i.  Contoh Garisan Pada Benda Buatan Manusia:
             Garisan pada tali, bakul anyaman, kain tenunan, bangunan, tayar kereta, corak fabrik, jala, penapis   dan sebagainya.

garisan pada anyaman tikar 

garisan pada bangunan

   ii. Contoh Gaisan Pada Alam Semulajadi:
            Garisan pada batu, haiwan dan tumbuhan seperti akar tumbuhan, tali, urat-urat daun, ombak di lautan, titis-titis hujan, kulit haiwan dan tumbuhan, batu marmar, kulit kayu dan sebagainya

garisan pada titisan hujan

garisan pada urat daun

garisan pada kulit harimau

Jenis-jenis Garisan


1. Garisan halus
2. Garisan tebal
3. Garisan beralun
4. Garisan berpancar
5. Garisan berlingkar
6. Garisan berserabut
7. Garisan bersudut-sudut
8. Garisan bergerigi
9. Garisan berbiji
10. Garisan berbulu
11. Garisan putus-putus
12. Garisan berduri

jenis-jenis garisan

Fungsi Garisan


1. Garisan menimbulkan rupa.
2. Garisan menimbulkan bentuk.
3. Garisan menimbulkan ilusi cahaya dan bayang.
4. Garisan mewujudkan ruang.
5. Garisan menghasilkan jalinan.
6. Garisan menghasilkan motif pada reka corak.
7. Garisan mewujudkan ton.
8. Garisan menghasilkan pelbagai asas corak garisan grid.

garisan menghasilkan rupa

garisan menghasilkan bentuk

garisan menimbulkan ilusi ruang, cahaya dan bayang

garisan menghasilkan jalinan

garisan yang mencipta corak

garisan yang mencipta corak


Garisan, Ton dan Ruang


1. Garisan yang halus menimbulkan ton yang cerah manakala garisan yang tebal akan menimbulkan ton yang gelap.
2. Garisan yang jarang-jarang menimbulkan ton yang cerah manakala garisan yang rapat-rapat menimbulkan ton yang gelap.
3. Garisan yang halus akan menimbulkan ilusi ruang yang jauh manakala garisan yang tebal akan menampakkan ruang yang hadapan.

penggunaan perbezaan saiz garisan boleh membezakan ruang yang jauh/belakang dan dekat.hadapan

perbezaan jarak garisan juga boleh membezakan ton yang cerah dan ton gelap

semasa menghasilkan lukisan, objek yang lebih hadapan hendaklah menggunakan garisan yang lebih tebal atau saiz pensel yang tebal atau kualiti yang gelap manakala kawasan belakang hendaklah menggunakan pensel yang lebih cerah / kecil dengan tekanan yang lebih perlahan

Aplikasi Garisan Dalam Karya Seni


1. Lukisan
2. Catan
3. Anyaman
4. Tenunan
5. Kolaj
6. Pualaman
7. Arca
8. Gurisan
9. Cetakan
10. Resis (batik / ikat celup)

Contoh-contoh Aplikasi Garisan Dalam Hasil Karya

penggunaan garisan dalam karya lukisan

Teknik Catan oleh Yusuf Ghani, Siri Topeng

karya teknik resis / ikat dan celup jelas memperlihatkan kesan-kesan garisan

karya tenunan juga mencipta garisan

aplikasi garisan dalam seni arca

garisan tampak jelas pada karya anyaman